DEMI KEBAJIKAN RAKYAT TERJALIN KERJASAMA PASAK DENGAN JKM PERAK

Pertemuan antara PASAK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak (JKM) ini sebenarnya sudah dirancang lama, tambahan apabila rakyat di negeri Perak juga sangat terkesan akibat dampak penularan COVID-19.
Pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan telah dirancang awal, namun banyak yang tidak dapat dilaksanakan atas faktor suasana yang tidak mengizinkan.
JKM sebagai sebuah badan kerajaan yang memainkan peranan yang sangat penting terutamanya membantu dan membela mereka yang dilanda masalah, kesusahan, penindasan serta memerlukan sokongan moral.
Terdapat beberapa AKTA dibawah pentadbiran JKM antaranya Akta Kanak-Kanak, Akta Orang Kurang Upaya, Akta Keganasan Rumah Tangga dan beberapa lagi AKTA yang menjadi rujukan utama JKM dalam menjaga dan melindungi rakyat.
Peranan JKM sememangnya sangat penting kerana mereka lebih dekat dan memahami denyut nadi rakyat yang memerlukan bantuan.
JKM Perak diwakili oleh Pengarah Cikpuan Nor Tipah binti Majin, manakala PASAK diwakili Pengurus Besar, Encik Mohd Fikri bin Junit, Pengurus Perhubungan Korporat Encik Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi dan, Pengurus Projek Encik Zul Iskandar Shah bin Osman.
Perbincangan kali ini lebih kepada bagaimana dapat menjalin kerjasama antara dua agensi kerajaan berpandukan fungsi dan peranan antara satu sama lain.
PASAK menawarkan banyak program yang berbentuk pembangunan kerjaya, latihan kemahiran, komunikasi seumpamanya. Manakala, JKM menumpukan bantuan kepada golongan sasaran seperti asnaf, ibu tunggal, gelandangan, dibawah perintah khidmat masyarakat dan pelbagai lagi.
Integrasi kerjasama ini dilihat dapat disesuaikan menerusi kenalpasti sasaran golongan terkesan daripada JKM sendiri dan penawaran program yang bersesuaian daripada PASAK seperti latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.
PASAK memandang optimis terhadap perancangan aktiviti yang bakal dijalankan bersama antara dua agensi dan sentiasa bersedia memberi bantuan mengikut perkhidmatan yang dirasakan sesuai untuk memberi sumbangan kepada rakyat menerusi kerjasama dengan JKM Perak.
Akhir kata, PASAK akan terus bertungkus lumus menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada rakyat negeri Perak dalam usaha membangunkan sosioekonomi negeri menerusi sinergi kerjasama dengan pelbagai pihak. Sokongan dan dokongan dari semua pihak sangatlah dihargai.
Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi
Perhubungan Korporat & Komunikasi
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*